Friday, February 29, 2008

Berita Anugerah Bintang Popular 2007

ABPBH 2007 tawar hadiah RM1.5 juta

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Salehuddin

Barang kemas, Peugeot rebutan artis popular

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 terus kekal acara hiburan paling berprestij negara ini dengan hadiah ditawarkan meningkat sehingga RM1.5 juta.


Hadiah itu termasuk barang kemas Habib Jewels bernilai RM1 juta tajaan Habib Jewels Sdn Bhd, iaitu penaja utama ABPBH2007 edisi ke-21, dua kereta Peugeot sumbangan Naza Kia Sdn Bhd bernilai RM300,000 dan pelbagai hadiah barang elektrik oleh JVC Sales & Services (M) Sdn Bhd.


Habib Jewels yang kekal sebagai penaja utama dua tahun berturut-turut sejak ABPBH2006, turut menaja wang tunai RM1.5 juta.


Selain berpeluang memenangi barang kemas, artis dan pembaca yang menyertai ABPBH2007 juga berpeluang membawa pulang dua kereta Peugeot, iaitu Peugeot 407 2.0 untuk kategori Bintang Paling Popular dan Peugeot 307 1.6 untuk pembaca bertuah. Turut menaja, Genting Highlands sebagai lokasi rasmi, TV3 dan Hot FM masing-masing sebagai penyiar dan radio rasmi, Mara Liner penyedia pengangkutan rasmi siri jelajah dan Hotel Palace of the Golden Horses sebagai hotel rasmi sidang media.


Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail, berkata penyertaan penaja ABPBH pada edisi ini cukup membanggakan dan membuktikan sokongan berterusan sektor korporat terhadap dunia seni dan anugerah itu sendiri.


"ABPBH 2007 bukan sekadar anugerah meraikan artis, tetapi juga dianjur bagi meraikan kejayaan industri hiburan serta masyarakat yang banyak memberikan sokongan," katanya pada majlis pengumuman finalis ABPBH 2007 di sini, semalam.


Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun; Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH 2007, Hanizam Abdullah; Penolong Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Habib Jewels, Yasheeda Yashaiya; Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan; Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Datuk Aziz Bakar dan Pengurus Program Hot FM, Anida Mohd Taharim.


Hadis sama Mawi, Azwan Ali, Anuar Zain, Raja Azura, Fauziah Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Faizal Ismail, Rabbani, Hijjaz, Linda Onn, AC Mizal, Misha Omar, Pierre Andre, Fahrin Ahmad dan Arash Mohamad.


Manja percaya, ABPBH2007 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands pada 30 Mac ini akan lebih gemilang berdasarkan kejayaan ABPBH edisi ke-20 apabila diisytiharkan program hiburan paling popular siaran TV3 dengan mencatat 4.4 penonton.


Borang pencalonan akhir ABPBH 2007 akan disiarkan menerusi akhbar Berita Harian dan Berita Minggu selama lapan minggu mulai hari ini sehingga 19 Mac nanti. Pembaca berpeluang memilih seorang pemenang bagi setiap kategori, serta seorang finalis bagi kategori Bintang Paling Popular.

No comments: